Sunday, January 31, 2010

sambungan perancangan pusaka

Perhatikanlah pengertian surah An Nissa’ayat 11 dan 12 dalam tulisan saya yang terdahulu dan fahamkanlah betapa Allah telah memperingatkan kita supaya kita menulis wasiat atau berwasiat kerana pusak akan dibahagikan setelah wasiat si mati di laksanakan dan dibayar hutang si mati.Dalam surah An Nissa’ ayat 11,di sebutkan sekali pembahagian ialah setelah diselesaikan wasiat dan setelah di bayar hutang si mati, dalam ayat 12 surah yang sama di sebut sebanyak tiga kali penegasan yang sama. Penegasan yang diulang-ulang itu menunjukkan ia adalah suatu perkara yang harus diambil berat oleh umat Islam. Kita sering mendengar betapa banyaknya harta umat Islam tidak dapat diselesaikan dan beku tidak boleh digunakan. Amatlah rugi harta yang tidak dapat dimanafaatkan samaada oleh si waris ataupun bagi orang yang mewariskanya. Paling tidak jika diwakafkan boleh juga mendatangkan manafaat pada si mati.

Tidak kurang juga berlaku pergaduhan sesama saudara kerana tidak dapat menyelesaikan pembahagian kerana tidak puas hati dan tidak mahu berpegang dengan penyelesaian yang telah disebutkan dalam al Quran. Perbalahan dan pergaduhan diwarisi turun temurun hanya kerana harta pusaka yang tidak seberapa. Alangkah malangnya orang yang meninggalkan harta tetapi waris saling bermusuhan. Masa hidup bertungkus lumus mencari harta untuk anak-anak tapi harta yang dicari akhirnya menjadi beban setelah kematianya.Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan atau yang dipersalahkan. Anak-anak bermasam muka di dunia, kita tidak mendapat ketenangan di alam kubur. Bukankah kita yang memulakan harta tersebut tetapi kita tidak endahkan ayat Quran kerana lalai dan jika diberitahupun kita ambil mudah kerana pada sangkaan kita bila kita mati harta menjadi milik waris melalui faraid.

Tahukah anda apa yang anda tinggalkan pada isteri,anak dan ibu bapa anda.Tahukah anda jika anda mempunyai isteri lebih dari seorang mereka akan bersekutu 1/8 dari harta anda? Atau adakah para isteri mengetahui apa hak mereka dalam faraid.Jika suami meninggal dan tidak mempunyai anak maka isteri mendapat bahagian ¼ dan selebihnya harta itu kemana perginya? Tahukah sang isteri jika ia meninggal dunia dan tidak meninggalkan anak suami mendapat ½ dari harta anda dan jika mempunyai anak suami mendapat ¼ dari harta peninggalan sang isteri. Alangkah baiknya jika anda mengetahui akibat dari pengumpulan harta supaya harta yang anda cari tidak menjadi beban hingga mengganggu anda di alam barzah. Jika anda tidak mempunyai waris alangkah baiknya harta yang anda cari dapat anda manfaatkan sehingga pahalanya berpanjangan jika kita infaqkan ke tempat-tempat yang baik supaya harta yang anda cari dengan tenaga masa, peluh keringat, jerih perih menjadi aset yang boleh membantu anda ketika bertemu Allah Rabbul Jalil. Insyaallah akan di sambung lagi. Jika ada pandangan jom kita kongsi.

No comments:

Post a Comment