Wednesday, July 28, 2010

Siapalah kita

Bila membaca hadis ini saya amat terharu dan sedih terasa betapa jauhnya kita dari jejak Nabi kita Muhammad saw,marilah sama-sama kita bermuhasabah,supaya kita menyedari siapalah kita disisi Allah.Pernahkah kita terfikir nikmat yang kita terima ini diberi kerana keredhaan Allah atau kerana Istidraj(murka Allah)

Dari Abu Hurairah"Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W yang sedang berbaring,lalu ia bertanya kepada Rasulullah,"apakah yang engkau rasakan?.Lalu dijawab Rasul,"Lapar".Maka menangislah lelaki itu serta ia terus keluar untuk bekerja membantu orang menimba air dengan upah tamar,kemudian ia kembali ke tempat Rasul untuk memberi tamar itu.Maka Rasulullah S.A.W pun bersabda,"Saya rasa engkau tidak akan berbuat begini melainkan kerana engkau cinta kepada ku".Jawab orang itu,"Benar demi Allah saya cinta kepada mu".Sabda Rasulullah S.A.W "Jika kamu benar-benar cinta kepada ku maka siapkan untuk menghadapi ujian bala' itu baju yang tebal,sebab bala'lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta padaku lebih daripada datangnya air bah dari atas bukit ke dalam jurang".

Pernahkah kita kelaparan kerana tiada makanan?,atau adakah kita berani mengatakan Nabi lapar kerana malas bekerja tentulah kita yang mengaku sebagai ummat nabi muhammad tidak akan mengeluarkan kenyataan yang sedemikian,hebatnya Nabi untuk melengkapkan dirinya sebagai contoh yang terbaik.Walaupun sebagai pemimpin ia layak untuk hidup mewah dan bersenang lenang namun sebagai pesuruh Allah ia menunjukkan kezuhudanya supaya dicontohi oleh umatnya yang terkemudian.Adakah kita mampu buat seperti itu,tidak mementigkan dunia ini sehingga kita lupa pada tanggung jawab kenapa kita dijadikan.Dari hadis tersebut kita lihat juga betapa sahabat-sahabat rasulullah yang juga miskin sepertinya namun sanggup berkorban untuknya walaupun tidak mendapat apa-apa kesenangan sebaliknya mereka pula yang menolong Nabi.Sanggup membanting tulang untuk memberikan sebutir tamar pada nabi hanya kerana cintanya kepada Nabi melebihi pada yang lain.

Itulah yang menjadikan Nabi manusia yang hebat kerana ia mampu menahan diri dari godaan kemewahan dunia yang hanya sementara ini ,ia memahami kepedihan kesusahan dan penderitaan kerana ia juga biasa berlapar kerana tiada makanan.Kemewahan dunia inilah yang sering menjadikan kita leka,lalai dalam menjalankan tanggung jawab kita sebagai khalifah dimuka bumi ini.Kemudian fahamilah peringatan Nabi bahawa orang yang cinta kepadanya lebih cepat ditimpa bala'diumpamakan lebih cepat dari air bah yang menuruni bukit,bayangkan betapa lajunya air bah yang menuruni bukit dan betapa kesakitan akibat dari lajunya air tersebut jika menimpa tubuh manusia.Lihatlah betapa hebatnya perumpamaan yang diberikan Nabi supaya memudahkan kita memahami akibat dari kecintaan kita kepadanya.Seringkali orang yang ingin beramal dan melaksanakan hukum-hukum dan syariat Islam ditindas,dihina,dicacimaki dan tidak digemari orang kerana menyusahkan mereka atau mengganggu hak-hak kebebasan manusia.Mereka sering dilebelkan dengan berbagai-bagai lebel bahkan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan dan yang paling hebat dibunuh hanya untuk menegakkan Islam.

Baju yang tebal yang disebut dalam hadis ini adalah peringatan dari Nabi bahawa pejuang-pejuang dan penganut Islam mestilah mempunyai persiapan yang cukup kuat dalam menghadapi ujian dan godaan dunia .Ujian demi ujian yang datang silih berganti bagi pejuang Islam adalah suatu proses memantap dan menguatkan pergantungan kita kepada Allah,dan suatu proses mematangkan kita,bukan melemahkan kita.Jika ujian itu melemahkan kita atau merenjatkan kita dari berjuang bermakna baju kita tidak cukup tebal lalu mudah dicarik musuh.Setiap cinta perlu pengorbanan,dan adakalanya pengorbanan kita dalam mencintai dunia merugikan kita ,namun pengorbanan demi cinta pada Allah dan Rasulnya yakinlah kita pasti berbaloi dan tidak disia-siakan.Kita mungkin susah di dunia tapi insyaallah selamat diakhirat yang penting kita buat semata-mata kerana Allah.

Orang yang dipenuhi kemewahan dan kekayaan belum pasti Allah sayang atau redha
hayatilah firman Allah dalam surah Al-An'aam ayat 44,sebagai pedoman dan pemerhatian kita supaya meneguhkan keimanan dan keyakinan kita pada Allah tanpa membandingkan apa yang kita ada dan apa yang orang ada bahkan bersyukurlah seadanya dengan apa yang dikurniaan Allah kepada kita.Firman Allah bermaksud:
"Jika engkau melihat seorang yang diberi oleh Allah akan semua hajatnya,padahal ia tetap berbuat maksiat,maka ketahuilah itu istidraj(murka).Dan ketika mereka telah melupakan apa yang diajarkan Allah.Kami bukakan semua pintu kemewahan dan kekayaan sehingga mereka gembira dan bangga dengan apa yang mereka dapat.Kami timpakan mereka secara mengejut(bala bencana yang membinasakan) maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)".Al-An'aam ayat 44

Renung-renungkanlah semoga kita tidak tergolong dikalangan orang-orang yang mendapat nikmat tapi secara Istidraj,amalkanlah kesederhanaan dalam kehidupan,siapa pun kita kita tetap akan kembali ketanah tempat asal kejadian kita.Wahai pemimpin kalau tidak dapat mengikut kehidupan rasul keseluruhanya berusahalah merapatkan berbezaan dengan rakyat marhain fahamilah kehendak rakyat,tapi bisakah mereka memahaminya kerana mereka tidak pernah berlapar seperti Rasullulah.Sebab itulah berasasnya kebimbangan Rasululah ketika bersabda "aku tidak bimbang jika ummat ku diuji dengan kesusahan tapi aku amat bimbang umatku di uji dengan kesenangan".wassalam

No comments:

Post a Comment