Sunday, January 24, 2010

Nyanyuk Manusia Seiring Nyanyuk Dunia




Masa berlalu terlalu pantas,dugaan dan cabaran dalam kehidupan adalah lumrah,cuma sejauh mana pendekatan kita dalam menyelesaikan masalah itulah menjadi mata rantai menilai kebijaksanaan manusia yang dianugerahkan oleh Allah akal. Membaca berita akhbar mutakhir ini bukan menambah menyegarkan kepala dan minda tapi menambah menyesakkan nafas dan memeningkan kepala. Kadang -kadang terasa malas nak membaca akhbar kerana berita cerita sama juga yang akan kita baca. Bunuh, rogol, rompak, ragut bukan lagi cerita baru yang memanaskan hati kita. Sampai bilakah perkara ini akan berterusan. Walaupun kita mampu mencari siapakah yang sepatutnya dipersalahkan namun perubahan tidak akan berlaku bila keimanan tidak disertai dalam mencari penyelesaianya. Berita yang disiarkan walupun bukan baru tapi cukup menjadi ukuran pada keadaan masyarakat kita yang semakin tenat dan nazak dengan akhlak dan moral serta reputnya pegangan agama di kalangan manusia. Manusia semakin ganas sama seperti binatang bahkan ada yang lebih teruk dari binatang, mungkin ianya kasar tetapi kita tidak ada perumpamaan yang lebih baik dari itu kerana manusia lawannya binatang.

Marah dan kecewa bila membaca cerita seorang bapa terkedu melihat adegan seks anak perempuanya dengan lima orang lelaki yang dirakamkan sendiri oleh si anak dalam telefon bimbitnya, usia sianak baru sahaja menjangkau lima belas tahun ia melakukanya dengan sukarela tanpa merasa malu, bersalah dan menyesal. Bayangkanlah betapa hancur luluhya hati si ibu bapa melihat sendiri aksi dan adengan tersebut. Anak yang sementah itu sepatutnya tidak dicemari dan dikotori dengan perkara-perkara sebegitu. Lima belas tahun adalah suatu usia yang terlalu mentah dan jauh dari mengenali tipu daya yang ada difikiran mereka,hanyalah perasaan ingin mencoba dan seronok tanpa memikirkan akibatnya. Sepatutnya dunia pembelajaran masih mewarnai kehidupanya dan masih dibawah pengawasan ibu bapa lagi, namun bagaimana perkara itu boleh berlaku? Salah siapa? Apakah yang harus kita lakukan. Cukupkah sekadar menbaca dan kemudian setakat berbincang di kedai kopi sahaja.Berita itu belum reda diperbincangan, keluar pula berita yang tak kurang hebatnya seorang remaja mengikut teman lelaki keluar yang juga berakhir dia "dikendurikan" beramai-ramai oleh teman lelaki dan sahabat-sahabatnya Usia si gadis ini juga lima belas tahun. Setelah berpesta seks mereka menghantar si gadis balik, kumpulan yang sama mencari mangsa yang lain yang seusia dengan gadis yang pertama, setelah melakukan acara rogol bergilir-gilir mereka meninggalkan gadis tersebut dan mencari mangsa yang ketiga dan menambah ahli kumpulan sehingga menjangkau berbelas-belas orang. Polis telah berjaya menangkap seramai dua belas orang lelaki dari seawal tiga belas tahun hinggalah keusia empat puluhan.

Amat mengerikan kegilaan ini mungkin ia akan menjadi fenomena bila kita tidak memikirkan cara penyelesaian dengan serius. Apakah pengajarannya yang kita dapat dari secebis berita yang kita baca yang mana cerita ini bukanlah cerita rekaan semata-mata tetapi cerita betul yang terjadi dalam masyarakat kita yang semakin maju dan ramai cerdik pandainya. Apakah ibu bapa terlalu terleka sehingga apa yang berlaku seolah-olah tidak menjadi pengajaran kepada mereka dengan tidak mengambil berat keselamatan anak-anak dan percaya seratus peratus pada anak-anak tanpa merasa curiga. Anak lelaki atau anak perempuan perlu pengawasan ibu bapa. Bayangkan si remaja lelaki boleh melakukan perkara seperti ini sekadar untuk suka-suka sahaja, tanpa memikirkan akibat dan hukuman yang bakal mereka terima atau adakah mereka tidak berada dalam keadaan siuman dan waras ketika melakukan perkara kerana mereka dibawah pengaruh pil-pil khayal yang semakin mudah didapati di negara kita ini.Tindakan mereka seolah-olah mereka tidak kisah dan takut pada apa-apa dan pada sesiapa.

Ransangan untuk melakukan perkara itu semakin banyak dan mudah didapati di mana-mana, semakin kita maju semakin rosak negara dan generasi kerana sikap kebertanggungjawaban sosial sudah tidak menjadi agenda yang penting. Kita terlalu terbuka dalam menerima budaya asing tanpa memikirkan adakah ia sesuai dengan kita yang majoriti beragama Islam dan berbangsa Melayu yang mementingkan kesopanan dan kesusilaan yang sering kita ikrarkan dalam rukun Negara. Adakah ini balasan dari Allah kerana kita tidak mengamalkan kehidupan berlandaskan agama Islam dan kita tidak menjalankan undang-undang yang termaktub dalam al Quran? Bila kita mengabaikan hukun Allah bahkan tidak yakin dengan hukumNya maka kita dicabar Allah mencari penyelesaian sendiri yang kita rasa akan menyelesaikan masaalah kehidupan kita tanpa pertolongan Allah. Tidakkah kita melihat betapa rapuhnya hukuman yang dicipta oleh manusia,sering berubah mengikut keadaan, suasana dan kadang-kadang siapa pelakunya juga akan merubah hukuman mengikut kepentingan. Mengapa kita terlalu degil untuk melaksanakan kehendak dan hukum Allah? Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Namun sebagai insan kita engkar pada arahan dan suruhan "boss" kita yang Maha Agong dan yang telah menciptakan kita daripada tiada kepada ada. Kita leka dan tunduk serta patuh pada "boss" kita yang hakikatnya dia juga sama seperti kita,cuma pangkat dan kedudukkanya sahaja tinggi dari kita, namun realitinya dia pun tidak dapat lari dari 'Bossnya" yang akan menghakimi perbuatanya di dunia. Dia menjadi"Boss" setakat di dunia sahaja, dan jika dia menzalimi orang bawahannya maka di akhirat orang bawahan boleh menghukumnya dan mendapat kebenaran dari "boss" yang sebenarnya lebih berkuasa dunia dan akhirat.

Walau sehebat mana pun pembangunan jika ianya tidak berlandaskan al-Quran dan hadis yang dibawa oleh junjungan besar kita nabi Muhammad S.A.W yakinlah maka kita akan berakhir dengan kemusnahan kehidupan dan kehancuran akhlak seteruk teruknya. Pembunuhan, peperangan, permusuhan, rompak, rogol akan menjadi kebiasaan dan manusia akan hidup lebih celaruan dan kucar-kacir seperti sebelum kedatangan Islam. Di mana siapa kuat dia menjadi tuan, siapa lemah akan ditindas. Kebenaran dijual diganti dengan kebathilan. Orang dihormati kerana kekayaan dan tinggi jawatan dan pangkat serta besar kuasanaya, bukan kerana kuat pegangan agama dan banyaknya kebaikan serta luhur budi pekertinya, alim dan tawaduknya.Orang yang ingin berpegang dan beramal dengan agama sering dianggap anti pembangunan dan ekstremis yang melambatkan atau mengganggu pembangunan dengan ucapan-ucapan melalaikan manusia dengan seruan,dan janji syurga dan peringatan neraka.

Kesenangan, kekayaan menjadi perkara utama dalam kehidupan. Sedang tidak senang dan tak mewah menjadi suatu keaiban, hidup dipandang hina. Inilah mentaliti zaman kita, sehingga manusia mengejar kemewahan tanpa mengenal halal dan haram dan sanggup meninggalkan amanah Allah yang dipertanggungjawapkan pada kita sebagai hambanya. Ingatlah anak-anak tanggungjawab ibu bapa, rakyat tanggungjawab kerajaan.Sebagai manusia yang beragama Islam kita lebih berat memikul tanggung jawap kerana kita tidak habis setakat di dunia sahaja tapi kita ada lagi tempat soal jawab yang akan menentukan layakkah kita ke syurga Allah. Adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita atau nyanyukkah kita setelah usia dunia semakin tua? atau nyanyuk kita kerana buta dan meninggalkan agama kita Islam?

No comments:

Post a Comment