Wednesday, June 24, 2009

Sekadar renungan

Assalamualaikum,maaf bagi pengunjung laman ini kerana baru dapat kesempatan untuk menulis sekadar renungan kita bersama. Pagi tadi saya terbaca berita dalam akhbar berkenaan seorang remaja yang membunuh diri kerana cubaannya untuk meminang gadis yang dicintainya tetapi ditolak oleh ibu gadis tersebut,remaja tersebut baru berusia 18 tahun dan baru mendapat pekerjaan. Apa yang menyedihkan ialah semenjak akhir-akhir ini seringkali perbuatan membunuh diri hanya kerana cinta kedengaran. Alangkah singkatnya pemikiran dan kosongnya jiwa hingga sanggup membunuh diri demi sebuah cinta yang tidak dituntut oleh agama. Sebagai seorang Islam perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita wajib beriman dan yakin tentang ketentuan Allah.

Peningkatan membunuh diri dikalangan orang melayu beragama Islam adalah suatu perkara serius dan perlu diberikan perhatian. Kenapakah perkara ini berlaku? Siapakah yang harus dipersalahkan ? Kepada siapa jari harus dituding? Adakah ia berlaku secara kebetulan? Bermula kelahiran seorang anak orang yang pertama mendakap dan mendidiknya ialah ibu dan ayah serta seluruh keluarga yang ada bersamanya. Mengikut kajian saintis, umur kritikal yang akan membentuk peribadi kanak-kanak ialah antara satu ke lima tahun. Jadi berilah perhatian yang bersungguh-sungguh pada tahap umur ini seperti mana hadith nabi yang bermaksud :

"Semua anak dilahirkan dalam keadaan fitrah ibu bapalah yang menjadikan yahudi,nasrani atau majusi".

Berdasarkan hadith diatas sebagai ibu bapa tidak boleh tidak kena menanamkan Akidah dan memperkenalkan agama Islam seawal kelahiranya bentuk peribadi dan jati diri muslim. Masalah yang ada sekarang ibu bapa sendiri tidak faham Islam dan tidak mengamalkan cara hidup Islam. Peliknya ibu bapa kita yang terdahulu tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi namun sistem pendidikan dan cara mereka amat berkesan menjadikan anak-anak dulu penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan dan pandai menghormati orang tidak kira tua atau muda. Lelaki dididik dengan cara gaya lelaki wanita dididik mengikut cara gaya kewanitaan, yang secara semula jadi bila anak-anak ini membesar mereka tahu membezakan yang mana sesuai untuk lelaki dan apa yang baik untuk wanita. Walaupun ada beberapa perkara yang perlu dibaiki namun orang tua-tua kita dulu berjaya pada zamannya mempersiapkan anak-anaknya melangkah gagah mencipta sejarah.

Walaupun kita kata zaman berubah haruskah keseluruhan hidup kita perlu berubah, perlukah kita mengikut semua budaya orang lain walupun bercanggah dengan agama. Tidak perlukah kita menghormati orang yang lebih tua, sehingakan ibu bapa pun sekarang ramai yang tidak dipedulikan. Hubungan persaudaraan dan kekerabatan semakin jauh sehingga berlaku sumbang mahram, jiran dianggap musuh dan menjadi lawan seteru,sehingga kehidupan lebih banyak kepada keakuan tanpa peduli kepada orang lain,"aku, aku,mu,mu".

Kini orang beragama Islam lebih bangga mengamalkan cara hidup, budaya, bahasa asing, dan meletakkan agama hanya sekadar ibadat bukan cara hidup. Falasafah, kefahaman, idola bukan lagi berasaskan dan bersandarkan hukum hakam Islam. Inilah sebenarnya punca kecelaruan zaman mutakhir ini bila ajaran Islam tidak dipraktikan dalan kehidupan,membaca Al-Quran sama seolah-alah kita membaca buku novel yang lain hukum Islam cukup sekadar diketahui, namun diabaikan kerana hukum manusia lebih adil dan hebat dari hukum Allah .

Anak-anak muda hari ini ramai yang hanyut dalam kehidupan, tanpa arah dan matlamat yang jelas, hidup dipenuhi dengan kegembiraan dan hiburan semata-mata itu belum kira lagi yang hanyut dengan dadah dan ketagih minum arak, yang wanita ramai yang hanyut mengejar dunia glamor sebagai penyanyi pelakon pragawati bermodalkan kecantikan yang banyak membuka ruang mengaut kekayaan tanpa mengira halal dan haram. Topik kecantikan memang selalu hangat dan ramai yang membelanjakan wang untuk mendapat kecantikkan yang sementara.

Sebenarnya kita sebagai ibu bapa yang mesti memberitahu anak-anak definasi dan tujuan kehidupan dari awal dengan betul mengikut ajaran Quran dan melalui sunnah nabi supaya kita tidak menyesal kemudian hari seperti kata pepatah orang tua biarlah anak-anak menangis dahulu jangan kita yang akan menagis kemudian hasil pembentukkan atau acuan yang kita lahirkan sendiri. Mereka adalah aset yang termahal yang diberikan Allah kepada kita kerana setelah kematian kita kita mengharapkan doa-doa dari anak yang solleh yang boleh membantu kita setelah kita mati kelak. Ingatlah pesanan nabi:

"Bila mati anak-anak adam hanya tiga perkara yang tidak putus ilmu yang dimanafaatkan,sedekah jariah dan anak-anak solleh yang mendoakanya".

Jadi renung-renungkanlah dimana silap kita.

No comments:

Post a Comment